




17 Julai 2019, Jelebu- Menguruskan penyatuan tanah-tanah ahli peladang dan mengusahakan projek pertanian dengan pengurusan secara sistematik oleh pertubuhan peladang merupakan cara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyumbang kepada pengeluaran makanan negara.

Perkara ini dinyatakan oleh Pn. Azulita Salim semasa mengadakan lawatan ke projek tanaman pisang dan dusun buahan milik Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Negeri Sembilan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelebu di sini hari ini.
“Sebelum ini LPP banyak terlibat dalam penyatuan tanah di kawasan-kawasan tanaman padi, kini kita akan galakkan pertubuhan peladang seluruh negara mencari tanah-tanah yang boleh disatukan dan diurus oleh Pertubuhan Peladang itu sendiri. Melalui cara ini hasil dapat ditingkatkan kerana ianya dapat diurus dalam skala yang besar”, tambahnya.

Dalam sesi lawatan tersebut, Pengurus Besar PPN Negeri Sembilan, En Razak Said berkata PPN sedang merancang menambahkan lagi projek tanamam dengan projek tanaman kelapa pandan seluas 10 ekar di lokasi yang sama. Sejumlah RM143, 000 peruntukan telah diluluskan oleh pihak LPP untuk tujuan tersebut.
“Sementara menunggu kelapa mengeluaran hasil kami akan mengoptimumkan dengan tanaman integrasi seperti serai dan nanas”, katanya.
Terdapat 11 pertubuhan peladang kawasan di Negeri Sembilan dan kebanyakannya terlibat dalam pertanian fertigasi, ternakan dan ternakair.
Turut hadir dalam program lawatan tersebut adalah pengarah LPP Negeri Sembilan, Timbalan Pengarah, Pengurus-pengurus besar PPK serta Pengarah Bahagian Pengeluaran Ladang LPP Ibu Pejabat. – Mhas





18 Julai 2019, Kota Kinabalu – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Datuk Salahuddin Ayub menyatakan bahawa kini rakyat semakin aktif dan proaktif dalam semua sektor berkaitan bidang pertanian. Beliau juga menyatakan kerajaan sentiasa perihatin dan melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pada akhirnya pemain-pemain industri dalam pertanian dapat ditingkatkan pendapatannya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Perlepasan Ikan Laut Dan Udang Kara Kerjasama PPK Putatan PCB Biotec dan EZ Rental di sini hari ini.



Beliau turut menambah bahawa rakyat sekarang ini mahu melihat kerajaan yang dipilih mampu untuk deliver dan mengharapkan kehidupan rakyat semakin baik. Kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan dalam penternakan ikan serta pengeluaran benih kerapu hibrid serta udang kara sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan.

“Saya sangat menyokong usaha pengeluaran dan jaminan pasaran daripada negara China seperti yang dimaklumkan. China telah membuktikan negaranya mampu menyaingi negara Amerika dalam dagangan. Lebih kurang 300 juta rakyat China telah melonjak dari kelas bawah ke kelas menengah dan berjaya dalam kehidupan mereka. Nilai pasaran China sangat besar maka dengan adanya jaminan pasaran ini, ianya memberi potensi yang besar kepada pertubuhan peladang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pn Azulita Salim, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan wakil-wakil pemimpin setempat. – Mhas




BANGI – Ramai yang berminat dengan pertanian. Tetapi ramai pula yang tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenainya. Kebiasaannya hanya tahu basic sahaja atau hanya pernah melihat orang bertanam dan kelihatan mudah sekali.
Mereka yang menjadikannya sebagai hobi bolehlah cuba-cuba atau buat rujukan melalui internet, tetapi bagi sesiapa yang lebih serius ingin menjadikan bidang pertanian suatu sumber rezeki perlulah menguasai asas-asas penting agar modal yang bakal dilaburkan tidak menjadi sia-sia.
Jangan terpedaya mendengar cerita manisnya menuai hasil bertani, kerana sesungguhnya cabaran dalam bidang ini sangat besar. Ramai yang kecundang selepas melaburkan ribuan ringgit.
Jika ingin berjaya perlulah mencari orang yang mahir untuk mengajar dan membantu kita dalam pertanian. Saranan saya kepada rakan-rakan yang minat dan inginkan ilmu pertanian bolehlah merujuk kepada Sdr Marzuki. Kenapa dicadangkan En. Marzuki dan tidak orang lain? Bagi saya sangat mudah kerana beliau seorang petani tulen, mempunyai ilmu dan terbukti kepakarannya melalui apa yang beliau sendiri laksanakan. Beliau mempunyai pemikiran berbeza dan mempunyai semua ciri-ciri petani masa depan.
Setakat itu yang saya boleh katakan. Selebihnya anda bolehlah mentafsirkannya sendiri. Cuba datang dan lihat kebunnya atau sekurang-kurangnya cubalah singgah ke FB page beliau:-
Sesiapa yang yakin jangan berlengah dan buatlah tempahan kursus seperti di bawah.:-
Di bawah saya paparkan skop kursus yang akan disentuh.



Saya tidak mengambil masa yang lama untuk mengenali dan menilai Saudara Marzuki. Saya pernah ke kebun beliau dan membuat penggambaran tanaman Fig. Pada masa itu kebunnya telah mempunyai IOT dan pembesaran struktur projek adalah atas pembiayaan sendiri.

Sesungguhnya, pertanian adalah perniagaan, pertanian adalah sumber rezeki dan pertanian adalah jihad. Namun begitu, nasihat saya, jangan melabur besar-besaran dalam bidang pertanian selagi anda tidak mengetahui teknik-teknik bertani dan pengurusannya. – Mhas








Kalau kita dengar perkataan “Sampai Bila Nak Dibantu” ramai yang terdetik bahawa ianya adalah ayat politik ditujukan kepada kaum melayu atau golongan yang mengusahakan perniagaan secara kecil kecilan. Kenapa tanggapan sebegini begitu sinonim kepada golongan ini?. Jawapannya bolehlah masing-masing fikirkan. Hakikatnya bantuan itu perlu. Namun bukan untuk selama-lamanya. Penerima bantuan pula perlu bertindak ke arah untuk berdikari.
Dalam konteks pertubuhan peladang (PP) yang bermatlamat untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup para peladang juga, kenalah meletakkan diri mereka sebagai sebuah entiti yang mahu berdikari. – Saya akan menyentuh sinario tanggungjawab berat GM dalam entry yang lain.
Dalam konteks pemikiran seorang Pengurus Besar (GM) yang ampuh dan tegar untuk berdikari, dinasihatkan agar kita pandai menilai dan menghargai setiap sen yang masuk ke PP. Tetapi kita kena lebih pandai menilai setiap sen yang keluar dari akaun PP. Adakah nilai sen yang keluar itu sebenarnya perlu dibelanjakan, adakah nilai sen yang keluar itu berbaloi dan apakan ROI (return on investment) kepada PP.
Ahli-Ahli PP yang menceburi dalam aktiviti keusahawanan, pengeluaran produk dan lain-lain perlu ‘dijinakkan’. Mereka ini pemangkin untuk menaikkan nama PP. GM dan PP hendaklah mewujudkan suasana dimana usahawan-usahawan ini merasakan mereka didampingi. Jika setiap kali lawatan ke projek usahawan pegawai kita dengan senang hati menerima buah tangan dari usahawan maka sudah tentu ianya tidak akan mewujudkan hasil yang baik. Kita kena lebih ‘gentleman’ menanggani pemberian-pemberian walaupun dinyatakan ikhlas oleh usahawan. Berapa banyak kos yang perlu ditanggung oleh usahawan atas tajuk ‘pemberian’ lawatan pegawai dari pelbagai agensi? Sedarlah bahawa ini langsung tidak memotivasikan mereka. Gunalah peruntukan PP untuk membalas pemberian dari usahawan. Nescaya tuan/puan dipandang tinggi oleh warga peladang kita.
Seterusnya untuk menaikkan martabat organisasi, GM juga perlu pandai memasarkan diri dan PP. Tonjolkan yang kita dan PP kita adalah lain dari yang lain, kita dan PP kita unik, kita berkebolehan, kompeten dan kita serta PP kita yang terbaik. Memasarkan diri perlu untuk kita maju dalam karier. (Tolong bezakan memasarkan diri dengan membodek!). Ke arah itu rebutlah peluang untuk berada atas pentas-pentas yang boleh menaikkan kita dan PP kita. Jika ada peluang ke stesyen TV atau program-program dalam TV, radio atau surat khabar, malah program live sosial media maka rebutlah peluang tersebut. Sesungguhnya ianya adalah ruang dan peluang terbaik untuk kita dan PP kita. Saya jamin ROI yang diperolehi sangat berbaloi. Ibaratnya anda memilih seekor ketam dan di dalamnya padat dengan isi serta telurnya.


Ketika ini janganlah berkira-kira nilai wang ringgit, merenget untuk dibantu dan janganlah kita sempitkan fikiran malah lebih buruk lagi gagal meyakinkan kepimpinan PP atas manfaat berada dalam pentas begini. Sesungguhnya mereka yang menolak peluang keemasan maka dia sesungguhnya berada dalam kerugian seumur hidupnya.
Persoalan sekarang, adakah kewangan menjadi penghalang? adakah untuk menaikkan imej anda, entiti anda dan organisasi anda masih perlu dibantu!! – Mhas






Kuala Lumpur – Lembaga pertubuhan peladang (LPP) meneruskan Program X-Break iaitu senaman ringan selama 15 minit di tempat kerja sebagaimana saranan YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed semasa pembentangan bajet 2019 yang lalu.
LPP mengambil inisiatif berbeza dengan melibatkan semua anggota di Menara LPP untuk melakukan aktiviti X-Break secara kumpulan setiap hari jumaat minggu terakhir setiap bulan.Pendekatan ini bagi menggalakkan keterlibatan semua anggota dan pada masa yang sama mendidik anggota LPP mengamalkan senaman ringan selama 15 minit setiap hari ke arah membudayakan gaya hidup sihat dan menzahirkan minda yang cerdas.
Ketua Pengarah LPP, Pn. Azulita Salim berkata program ini akan diteruskan dan akan dipanjangkan ke semua LPP negeri serta Pertubuhan Peladang kerana ianya suatu aktiviti yang sangat baik untuk kesihatan dan dapat mengurangkan stress dikalangan pekerja.
Program ini terbukti mendapat sambutan baik dari semua anggota menggambarkan keperihatinan warga LPP kepada penjagaan kesihatan. – Mhas







6 Julai 2019, Kulai – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata beliau mempunyai dua impian iaitu, pertama memastikan makanan cukup dan berkualiti, selamat dan mampu dibeli oleh rakyat dan,
Kedua memastikan petani-petani dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ybhg Datuk Mazlan Aliman di Felda Sungai Sayong, Kulai Johor.



Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah-pengarah LPP negeri, Pengarah Bahagian, Timbalan Pengarah dan Pengurus Besar PPK. – Mhas.

5 Julai 2019, Klang – Semalam selepas urusan kerja kami bersantai minum di Muar Station Kota Kemuning bersama Team Anak Jadi Jalan Kebun dan rakan-rakan sekerja.

Apa yang menarik seorang usahawan ni, namanya En. Yazid menceritakan dia terpaksa mencari kawasan pertanian baru sehingga ke negeri sembilan. Beliau mengusahakan tanaman nanas melebihi 50 ekar dan di tanam dengan variati moris, MD2 dan yang menarik ialah penceritaan tentang varieti Pearl Honey.

Kehadiran rakan perniagaan En. Yazid, Dato’ Nazilah lebih menceriakan lagi topik perbincangan. Dato’ Nazilah merupakan bekas guru dan aktif dalam NGO. Beliau juga Presiden Malaysian Chambers Of Entrepreneurs Business Development aktif dalam bidang pertanian. Selain tanaman nanas beliau juga menerokai tanaman asperagus putih dengan pasaran tersedia dari Singapura.
Berkongsi pendapat berkaitan data penanam, pasaran pertanian, kestabilan harga dan keperluan nasihat kepada pengusaha tanaman tradisi seperti getah untuk menukar tanaman yang lebih menguntungkan. Sangat positif dengan visi dan perspektif berbeza tentang cara pemikiran warga tani hari ini.
Menceritakan tentang petani kita yang sering tertarik dengan keuntungan sesuatu projek tetapi tak punya pengalaman dan pengetahuan menyebabkan mereka gagal mematuhi SOP ditambah pula tiada usaha kajian sendiri menyebabkan hasil yang diperolehi tidak berkualiti. Contohnya ada petani kita menanam nanas MD2 tetapi hasilnya ialah buah nanas sebesar penumbuk atau sebesar nanas mini yang banyak dijual Thailand. Dengan Selamba Dato’ Nazilah menjawab, Itu kepala beruk!. “Orang panggil nanas yg kecil tu kepala beruk” katanya dangan penuh yakin. – Mhas.

Sumber maklumat yang mengatakan ketirisan subsidi baja kerajaan persekutuan (SBPKP) disebabkan ketiadaan data atau pun data tidak dikemaskini adalah tidak tepat.
Sebenarnya Pertubuhan Peladang kawasan (PPK) di seluruh negara menpunyai data lengkap yang disahkan oleh Jawatankuasa Penapis yang dibentuk. Pertubuhan peladang yang terlibat dalam skim ini mempunyai maklumat terperinci individu yang menanam dan keluasan sawah mereka kerana setiap pesawah wajib mengemukakan maklumat seperti geran tanah untuk pendaftaran permohonan baja subsidi.
Difahamkan juga bahawa jabatan dan agensi lain turut menggunapakai data pesawah dari PPK. – Mhas
Sumber : Pengurus Bahagian PPK P. Panjang
Langkawi, 29 Jun 2019 – Tun M cadang peladang mencantum tanah-tanah mereka untuk wujudkan ladang yang berskala besar. Katanya kita terkenal dengan pengeluaran pertanian seperti kelapa sawit, getah dan bijih tapi malangnya peladang kita dikenali sebagai golongan termiskin dalam negara.”Peladang kita mempunyai tanah yang kecil. Dari tanah yang kecil kita tidak mungkin keluar dari kemiskinan kerana pendapatannya rendah”. Katanya dalam majlis sambutan hari raya pertubuhan peladang Langkawi Padang Mat Sirat di sini. Estet-estet besar kepunyaan british berjaya dan menjadi kaya raya manakala peladang kita yang sama menanam kelapa sawit masih miskin dan memerlukan subsidi. Seterusnya Perdana Menteri menyeru peladang yang tidak mempunyai tanah yang luas menyokong cadangan mencantum tanah-tanah mereka menjadi seribu ke tiga ribu hektar dan diurus oleh pengurus ladang yang professional. Petani dan peladang boleh bekerja di situ dan pada masa yang sama mendapat bahagian keuntungan dari projek tersebut. Beliau juga berkata para petani dan peladang tidak boleh bergantung kepada satu jenis tanaman sahaja. Jika harga tanaman utama jatuh mereka masih ada tanaman lain yang boleh menampung pendapatan mereka. Turut hadir dalam majlis sambutan hari raya tersebut ialah pengerusi dan ketua pengarah LPP iaitu Datuk Mazlan Aliman, dan Pn Azulita Salim.- Mhas
