Category: Uncategorized
Elemen Wajib Dalam Pengurusan Projek
Pasir Mas ¦ 13 Januari 2021 – Setelah perbincangan singkat bersama Pengerusi serta wakil AJP PPK Kangkong pada minggu lepas, kami dari team LPP Kelantan telah turun untuk sesi libat urus bersama pengurusan PPK Kangkong.
Kami pada dasarnya sangat optimis dengan aktiviti sedia ada serta ‘way forward’ yang dibentangkan oleh Pengurus Besar dan Pengurus-pengurus Bahagian di PPK Kangkong. Namun begitu kami akan memperkemaskan sistem dan beberapa elemen penting yang perlu dimasukkan dalam pengurusan projek.
Antara elemen tersebut ialah mengurangkan kebergantungan kepada anggota lantikan LPP dalam menguruskan projek. Banyak kes dimana projek PP ‘mengikut’ pegawai, atau projek tersebut gagal setelah pegawai berkenaan bertukar.
Kita akan menerapkan satu ‘titik perubahan’ agar pengoperasian aktiviti teras PP dilaksanakan oleh kakitangan lantikan PP sendiri manakala anggota lantikan LPP pula akan bertindak sebagai penyelaras sahaja. Contoh jelas adalah bagaimana kebanyakan projek stesyen minyak PP beroperasi. Semua pekerja dan pengurus stesyen adalah pekerja khas untuk projek tersebut tanpa melibatkan anggota lantikan LPP. Pengurus stesyen akan memastikan projek tersebut berjalan dengan baik. Dengan cara ini, diharap aktiviti perniagaan PP akan terus kekal dan tidak lagi bergantung kepada anggota LPP. Kaedah ini diharap dapat menyelesaikan isu projek gagal atau terpaksa ditamatkan setelah seseorang pegawai LPP berkenaan bertukar atau bersara.
Elemen kedua ialah memperkenalkan Skim Insentif kepada pekerja atau pegawai yang berjaya menguruskan sesuatu projek melepasi sasaran. Melalui cara ini pekerja dan pegawai berkenaan akan mempunyai motivasi penuh bukan sahaja mencapai sasaran, malah mereka akan berusaha untuk melapaui sasaran yang ditetapkan agar mereka memperolehi imbuhan yang lebih besar. Kaedah insentif ini perlu di ‘legalise’ agar tidak menyalahi peraturan yang sedia ada.
Sistem yang bakal diterapkan ini dijangka mampu menaikkan prestasi PPK Kangkong Khasnya dan seluruh PP amnya. Namun begitu, perubahan ini memerlukan keyakinan pengurusan dan barisan AJP. Pengurusan harus diberi kepercayaan dalam melaksanakan misi ini tanpa banyak birokrasi. Birokrasi berlebihan akan menghalang kemajuan. PP adalah milik ahli peladang, maka bersamalah kita majukan peladang dan institusi pertubuhan peladang. – Mhas
Padi
Padi.. Semua orang nak jaga padi. Semua nak jadi pelopor industri padi. Tidak kurang juga ramai mendakwa menjadi pakar padi, walau tidak pernah mengusaha sepetak sawah pun. Tidak sedar walaupun sudah lama menjaga padi, hasil tak seberapa. Malah ketika zaman jepun dulu padi tidak menyelamatkan orang melayu dari kebuluran. Sebaliknya yang menyelamatkan orang-orang melayu ketika itu ialah ubi kayu dan pisang.
Orang melayu jangan diajar pasal tanam padi. Macam nak ajar itik berenang katanya. Kami tanam padi ni dah turun temurun. Mereka tak sedar kaum cina yang baru masuk industri ini jauh lebih berjaya. Hasil mereka mencecah 8 hingga 10 Mt sehektar. Orang melayu yang pantang diajar bolehlah setakat 3 hingga 5 Mt.. Stop!
Kepada anak-anak bandar, padi sebenarnya dihasilkan dari tanaman, bukannya dikeluar dari kilang macam biskut. Ingat.. yang ada di dunia ini hanya pokok padi dan bukannya pokok beras ya..
Di ROB, versinya begini. Padi ditanam menggunakan ‘Biji Padi’. Biji padi boleh dikenali dari bentuknya dan mempunyai namanya yang tersendiri. Jika dulu nama diberi seperti, Padi Mahsuri, Padi Malinja, Padi Bahagia dan lain-lain. Pernah juga kita tanam padi pulut dan padi ketumbar. Padi ketumbar bijinya kecil-kecil dan biasanya dijadikan makanan burung. Nama-nama padi zaman ini pula dikenali dengar kod ‘MR’ contohnya MR 219, MR 297 dan sebagainya.
Biji padi yang direndam dalam air akan menyebabkan ianya mengeluarkan tunas putih iaitu akar benih padi. Bila ditabur akan tumbuh menjadi ‘anak padi’. Anak padi yang tumbuh dalam petaknya dipanggil ‘Semaian Padi’ .
Kaedah lama anak padi diubah dari petak semaian ke petak sawah. Anak padi dicabut dan diikat menggunakan tali dari pelepah pokok pisang atau kulit pokok bembam. Proses mencabut ini dipanggil ‘Menyabut’. Anak padi yang selesai dicabut dan diikat dinamakan ‘Gemal’.
Gemal-gemal akan diangkat ke lokasi yang hendak ditanam menggunakan ‘Kandaran’ dan ada juga yang menggunakan ‘Galah’ . Sekiranya menggunakan kandaran, gemal padi akan disusun dalam kedua-dua ruang kandaran yang berbentuk ‘A’ dan kemudiannya dipikul. Bagi yang menggunakan galah, samada batang kayu atau buluh akan merentangkannya ditengah gemal dan barulah dipikul.
Gemal akan dibawa ke petak sawah yang dipanggil ‘Baruh’. Gemal yang hendak ditanam akan dipotong bahagian atasnya sepanjang sejengkal atau tertakluk kepada kedalaman air pada petak baruh berkenaan. Bahagian yang dipotong tersebut dipanggil ‘jambul’ .
Gemal yang dipotong jambulnya dipanggil ‘uting’ . Penanam padi akan memangku uting dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi mencubit bilah-bilah anak padi untuk dicucuk ke dalam tanah. Proses menyucuk anak padi ke tanah secara selari ini dipanggil ‘Mencedung’ .
Pokok padi yang membesar dan mula nak mengeluarkan bunga dipanggil ‘Padi Bunting’ . Tidak lama selepas itu akan kelihatan seperti biji padi pada tangkai. Bila tangkai padi makin menunduk, ia dikatakan padi sedang ‘Memberat’ . Jika diambil biji padi dan dipicit akan terhasil cecair seakan susu.
Padi yang berwarna kekuningan dan daun pengasuh mula kering dinamakan ‘Padi Masak’. Kaedah menuai telah berubah mengikut peredaran zaman. Zaman dulu padi dituai atau dipetik secara manual menggunakan sebelah tangan sahaja. Setiap tangkai padi akan dikerat satu persatu menggunakan alat yang dinamakan ‘Tamae’. Kerja-kerja ini dipanggil ‘Mengetam’, atau orang utara panggil ‘Mengerat’. Padi yang bertangkai akan diikat pada tangkainya setelah cukup sukatan tangkainya satu gengaman besar dan diikat menggunakan batang padi yang di pintal. Segugus ikatan hasil padi ini dipanggil ‘Umai’. Umai-umai ini selalunya dimasukkan ke dalam bekas dipanggil ‘Karung Kerencup’ dan dibawa untuk disimpan dalam pondok yang dinamakan ‘Rumah Padi’ . Setengah tempat menamakannya sebagai ‘Kepok’.
Kaedah menuai menggunakan tamae ini memerlukan proses pengasingan padi dari tangkai yang dinamakan ‘mengirik’ . Mengirik dilakukan dengan cara memijak padi yang masih bertangkai menggunakan kaki. Proses ini akan memisahkan biji padi dari tangkainya. Tangkai padi yang terasing pula dipanggil ‘romae’.
Kaedah menuai yang kedua adalah memotong batang-batang padi lebih kurang sejengkal dari tanah dengan menggunakan sejenis alat dipanggil ‘sadat’. Proses menyadat ini pula dipanggil ‘mencerut’ . Batang padi yang mempunyai buah dihujungnya dikumpul berlongok secara tersusun. Longgokan pokok padi akan diambil dan dililit dengan tali dan kemudiannya dihempas beberapa kali ke dalam tong kayu yang dipasang tabir atau layar. Proses menghempas padi ke dalam tong ini bertujuan untuk meleraikan biji padi dari tangkainya. Proses ini dipanggil ‘memukul’. Tong padi mengandungi tiga komponen utama iaitu tong, tangga dan layar. Pokok padi yang telah terpisah biji padinya dipanggil ‘Jerami’.
Kaedah penuaian yang ke tiga ialah menggunakan jentera seperti sekarang.
Biji padi berisi penuh yang terlerai samada melalui proses mengirik, memukul atau mesin akan dipanggil ‘Padi Bernas’. Padi yang tidak berisi pula dipanggil ‘Hampa Padi’. Proses mengasingkan biji padi bernas dan biji padi hampa dibuat dengan kaedah ‘Mengayak’ ‘Menyiru’ dan ‘Menampi’ .
Sebelum boleh dimasak dan dimakan, padi perlu diproses samada ditumbuk atau dimesin. Alat yang digunakan untuk menumbuk padi dinamakan ‘Lesung’. Penumbuknya pula dipanggil ‘Alu’. Proses ini akan menghasilkan padi yang tertanggal kulitnya dan inilah yang dinamakan sebagai ‘Beras’ . Jika padi diproses menggunakan mesin maka terus menjadi beraslah. Jika kaedah lama perlu ditumbuk dalam lesung, hasilnya sekali lagi perlu ditampi menggunakan ‘badang’. Badang pula ada beberapa jenis iaitu ‘Badang Biasa’ dan ‘Badang Jarang’ yang berlubang-lubang.
Dulu sebelum memasak nasi akan dipilih saki baki padi yang bercampur dalam beras. Padi di dalam beras ini tidak lagi dipanggil padi tetapi sebaliknya dipanggil ‘Antah’. Bila beras dimasak ianya tidak lagi dipanggil beras tetapi dipanggil ‘nasi’ . Proses memasak nasi ini dipanggil ‘Menanak’ . Jika sewaktu menanak itu terlebih air atau sengaja dilebihkan air, maka nasi menjadi ‘bubur’.
Kita jangan leka. janganlah sampai nasi menjadi bubur. – Mhas.
Bunga Tari
Kitab Rujukan Amalan
Kitabnya



Doa Jauhi Wabak – Bermohon kepadaNya
Kunjung hormat kepada Exco Pertanian Negeri Sembilan
Seremban, 12 Mac 2020 – Beberapa perkara penting bagi memastikan projek pertanian dan perkhidmatan kejenteraan disampaikan secara lebih berkesan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) telah dibincangkan sewaktu kunjung hormat Datuk Mazlan Aliman, pengerusi LPP kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, YB Tn. Haji Bakri bin Sawir di Wisma Negeri di sini.
Perjumpaan pihak LPP dan PPN Negeri Sembilan kepada Kerajaan negeri ini turut melibatkan Dato’ Zulkifli, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah keperluan tanah, sokongan meningkatkan hayat jentera dan bantuan kerajaan negeri dalam projek pertanian.
Dalam pertemuan tersebut YBhg Datuk Mazlan menyatakan tujuan kunjungan adalah dalam siri rangka lawatan beliau untuk bertemu dengan kerajaan negeri melalui exco pertanian. Selain itu tujuannya adalah untuk melihat potensi kalobrasi LPP bersama kerajaan negeri.
Dalam pertemuan tersebut juga, Pihak PPN Negeri Sembilan telah mengutarakan permohonan tanah kerajaan negeri untuk diusahakan termasuk kemungkinan melibatkan diri di tapak National Feedlot Corporation (NFC).
Dato’ Zakaria Arshad, pengerusi PPN yakin jika diberi peluang pihak PPN Negeri Sembilan mampu mengorak langkah dalam projek pertanian dan pengeluaran makanan di Negeri Sembilan kerana beliau mempunyai pengalaman luas bersama FELDA sebelum ini.
Hasil pertemuan sangat positif kerana kerajaan negeri memerlukan kerjasama pihak-pihak tertentu untuk memajukan lebih 6000 ekar tanah terbiar serta sebahagian 1500 ekar tanah berkaitan NFC. Untuk tujuan tersebut satu proposal berkaitan cadangan pelaksanaan projek perlu dikemukakan kepada Menteri Besar Incoprated (MBI).
Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Puan Hajah Norlizah Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP, Dato’ Sawaludin Ahmad, Pengarah Bahagain Industri padi & Beras, En. Amir Matamin, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan & Pembiayaan, En. Mohd Khairi Mohd Hadzir, Pengarah LPP Negeri Sembilan, En Razak Said, Pengurus Besar PPN Negeri Sembilan serta pegawai. – Mhas



Warga LPP diseru menyokong dasar-dasar kerajaan semasa.
Ipoh, 11 Februari 2020 – Pegawai-pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) diingatkan supaya menjalankan tanggungjawab selari dengan ikrar perkhidmatan awam dalam menjalankan tugas. Pegawai-pegawai hendaklah menyokong dasar-dasar kerajaan semasa dan memberi perkhidmatan terbaik kepada ahli peladang. Perkara demikian dinyatakan oleh YBgh Datuk Mazlan Aliman, Pengerusi LPP di sini.
Beliau mengingatkan bahawa pernyataan oleh YB Menteri bahawa tahun 2020 adalah tahun pelaksanaan perlu diambil serius oleh setiap pegawai. Beliau juga mengingatkan supaya setiap pegawai dapat memberi perkhidmatan terbaik dengan mengurangkan birokrasi.
Beliau berkata, ‘Birokrasi yang menyusahkan rakyat akan memberi reputasi dan imej yang tidak baik kepada organisasi serta kerajaan yang memerintah’ .
‘Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pegawai yang cuba tidak beretika atau cuba mencemar imej organisasi, malah pegawai juga perlu cepat bertindak atas apa sahaja keputusan yang telah dicapai bagi memastikan setiap ahli peladang mendapat faedah’ tambahnya.
‘Soalnya, sejauh mana kita menjaga ahli peladang kerana ada ahli merasakan mereka tidak mendapat manfaat dalam Pertubuhan peladang. Oleh itu, idea penubuhan Yayasan peladang adalah untuk membantu permasalahan dan kebajikan ahli-ahli peladang. Selain itu, hub burung walit di Beluran, hub buah-buahan di Perak, Kelantan tempat baru keluaran kerepek dan pilot projek pembangunan Baling perlu dilaksanakan segera’.
Datuk Mazlan Aliman berkata demikian dalam ucapan penutupan dan Majlis Ramah Mesra bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang sempena Mesyuarat-mesyuarat utama LPP tahun 2020 di Hotel Weil ipoh, perak.
Majlis ramah mesra ini turut dihadiri oleh Dr Muhaimin Sulam, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak dan melibatkan pegawai-pegawai kanan LPP serta pengurus-pengurus besar PPN. – Mhas
Kenangan bersama MHI RTM untuk HPPNK 2019
CB




