Karnival Keusahawanan PPK Pekan Nanas

Pontian – 27 Oktober 2019, Walaupun sudah banyak kejayaan- kejayaan usahawan yang diketengahkan, namun kerajaan sentiasa memikirkan bagaimana untuk majukan usahawan termasuk usahawan tani. Oleh yang demikian agensi dan jabatan termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) perlu mencari inisiatif ke arah membantu usahawan agar wujud lebih ramai usahawan muda yang menceburi sektor agromakanan negara. Perkara demikian dinyatakan oleh
Datuk Mazlan bin Aliman Pengerusi LPP di Majlis Karnival Keusahawanan 2019 Pertubuhan Peladang Kawasan Pekan Nanas di sini.

Beliau berkata “perlu ada insentif dalam bentuk geran dan perlu ada mekanisma tertentu supaya orang muda yang minat dalam pertanian tetapi tiada modal permulaan. Hasrat kita adalah bagaimana nak bantu usahawan dan membesarkan projek-projek usahawan sedia ada”.

Datuk Mazlan juga menyeru agar semua pegawai memainkan peranan sewajarnya dalam melayani keperluan golongan sasar. Sekiranya keperluan oleh golongan sasar adalah sumber kewangan maka ada kaedah dan mekanisma yang boleh digunakan seperti Tabung Usahawan Peladang yang hanya boleh diluluskan di peringkat negeri sekiranya jumlahnya kurang dari 50 ribu. Seterusnya beliau juga mahukan kawasan dataran peladang berhampiran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan Nanas ini dapat dibangunkan.

“Saya telah berhubung dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi membangunkan dataran peladang di kawasan PPK Pekan Nanas ini dengan replika nanas dan sebagainya sebagai mercu tanda Pekan Nanas. Dengan cara itu ianya akan menarik kehadiran pelancong dan jika disediakan cafe dan pusat pengumpukan hasil pertanian akan menjadikan dataran ini lebih menarik” tambahnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pn. Azulita Salim, Ketua Pengarah LPP, Tuan Haji Abdul Jalil Bin Haji Bukhairah Pengarah LPP Johor dan Tuan Haji Selamat bin Othman pengerusi AJP PPK Pekan Nanas. – mhas

Karnival Sarang Burung Walet Daerah Beluran

Beluran, 17 Oktober 2019 – LPP akan jadikan PPK Beluran sebagai hub pemprosesan sarang burung walet pertama di Malaysia. Sejumlah RM 3.0 juta diperuntukkan untuk menjadikan Beluran sebagai hub pengeluaran sarang burung walet selepas beberapa isu diselesaikan dengan kerajaan negeri. Datuk Mazlan Aliman, Pengerusi LPP berkata demikian dalam Majlis Perasmian Karnival Sarang Burung Walet 2019 Daerah Beluran yang telah berlangsung pada 16 & 17 Oktober 2019 di sini hari ini.

Karnival Sarang Burung Walet ini telah diisi dengan program lelongan sarang burung walet dan pembentangan kertas kerja dari Jabatan Hiduoan Liar Sandakan dan pihak Agrobank sebagai agensi yang menawarkan pembiayaan pembinaan rumah burung walet.

Dalam majlis tersebut YBhg Datuk Mazlan bin Aliman telah menyampaikan Peruntukan TPUP kepada 4 orang usahawan yang berjumlah RM 161,000 dan menyaksikan MOU pemasaran sarang burung walet antara PPK Beluran dengan Syarikat Duta Sialin Biotechnology Sdn. Bhd.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Anita Misuari Pengarah LPP Sabah, YB Datuk James Ratib, Pengerusi PPK Beluran, En. Ripin Wahid, Pengarah FAMA Negeri Sabah dan En. Amir bin Matami, Pengarah Bahagian Usahawan LPP Kuala Lumpur. – mhas