Padi.. Semua orang nak jaga padi. Semua nak jadi pelopor industri padi. Tidak kurang juga ramai mendakwa menjadi pakar padi, walau tidak pernah mengusaha sepetak sawah pun. Tidak sedar walaupun sudah lama menjaga padi, hasil tak seberapa. Malah ketika zaman jepun dulu padi tidak menyelamatkan orang melayu dari kebuluran. Sebaliknya yang menyelamatkan orang-orang melayu ketika itu ialah ubi kayu dan pisang.
Orang melayu jangan diajar pasal tanam padi. Macam nak ajar itik berenang katanya. Kami tanam padi ni dah turun temurun. Mereka tak sedar kaum cina yang baru masuk industri ini jauh lebih berjaya. Hasil mereka mencecah 8 hingga 10 Mt sehektar. Orang melayu yang pantang diajar bolehlah setakat 3 hingga 5 Mt.. Stop!
Kepada anak-anak bandar, padi sebenarnya dihasilkan dari tanaman, bukannya dikeluar dari kilang macam biskut. Ingat.. yang ada di dunia ini hanya pokok padi dan bukannya pokok beras ya..
Di ROB, versinya begini. Padi ditanam menggunakan ‘Biji Padi’. Biji padi boleh dikenali dari bentuknya dan mempunyai namanya yang tersendiri. Jika dulu nama diberi seperti, Padi Mahsuri, Padi Malinja, Padi Bahagia dan lain-lain. Pernah juga kita tanam padi pulut dan padi ketumbar. Padi ketumbar bijinya kecil-kecil dan biasanya dijadikan makanan burung. Nama-nama padi zaman ini pula dikenali dengar kod ‘MR’ contohnya MR 219, MR 297 dan sebagainya.
Biji padi yang direndam dalam air akan menyebabkan ianya mengeluarkan tunas putih iaitu akar benih padi. Bila ditabur akan tumbuh menjadi ‘anak padi’. Anak padi yang tumbuh dalam petaknya dipanggil ‘Semaian Padi’ .
Kaedah lama anak padi diubah dari petak semaian ke petak sawah. Anak padi dicabut dan diikat menggunakan tali dari pelepah pokok pisang atau kulit pokok bembam. Proses mencabut ini dipanggil ‘Menyabut’. Anak padi yang selesai dicabut dan diikat dinamakan ‘Gemal’.
Gemal-gemal akan diangkat ke lokasi yang hendak ditanam menggunakan ‘Kandaran’ dan ada juga yang menggunakan ‘Galah’ . Sekiranya menggunakan kandaran, gemal padi akan disusun dalam kedua-dua ruang kandaran yang berbentuk ‘A’ dan kemudiannya dipikul. Bagi yang menggunakan galah, samada batang kayu atau buluh akan merentangkannya ditengah gemal dan barulah dipikul.
Gemal akan dibawa ke petak sawah yang dipanggil ‘Baruh’. Gemal yang hendak ditanam akan dipotong bahagian atasnya sepanjang sejengkal atau tertakluk kepada kedalaman air pada petak baruh berkenaan. Bahagian yang dipotong tersebut dipanggil ‘jambul’ .
Gemal yang dipotong jambulnya dipanggil ‘uting’ . Penanam padi akan memangku uting dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi mencubit bilah-bilah anak padi untuk dicucuk ke dalam tanah. Proses menyucuk anak padi ke tanah secara selari ini dipanggil ‘Mencedung’ .
Pokok padi yang membesar dan mula nak mengeluarkan bunga dipanggil ‘Padi Bunting’ . Tidak lama selepas itu akan kelihatan seperti biji padi pada tangkai. Bila tangkai padi makin menunduk, ia dikatakan padi sedang ‘Memberat’ . Jika diambil biji padi dan dipicit akan terhasil cecair seakan susu.
Padi yang berwarna kekuningan dan daun pengasuh mula kering dinamakan ‘Padi Masak’. Kaedah menuai telah berubah mengikut peredaran zaman. Zaman dulu padi dituai atau dipetik secara manual menggunakan sebelah tangan sahaja. Setiap tangkai padi akan dikerat satu persatu menggunakan alat yang dinamakan ‘Tamae’. Kerja-kerja ini dipanggil ‘Mengetam’, atau orang utara panggil ‘Mengerat’. Padi yang bertangkai akan diikat pada tangkainya setelah cukup sukatan tangkainya satu gengaman besar dan diikat menggunakan batang padi yang di pintal. Segugus ikatan hasil padi ini dipanggil ‘Umai’. Umai-umai ini selalunya dimasukkan ke dalam bekas dipanggil ‘Karung Kerencup’ dan dibawa untuk disimpan dalam pondok yang dinamakan ‘Rumah Padi’ . Setengah tempat menamakannya sebagai ‘Kepok’.
Kaedah menuai menggunakan tamae ini memerlukan proses pengasingan padi dari tangkai yang dinamakan ‘mengirik’ . Mengirik dilakukan dengan cara memijak padi yang masih bertangkai menggunakan kaki. Proses ini akan memisahkan biji padi dari tangkainya. Tangkai padi yang terasing pula dipanggil ‘romae’.
Kaedah menuai yang kedua adalah memotong batang-batang padi lebih kurang sejengkal dari tanah dengan menggunakan sejenis alat dipanggil ‘sadat’. Proses menyadat ini pula dipanggil ‘mencerut’ . Batang padi yang mempunyai buah dihujungnya dikumpul berlongok secara tersusun. Longgokan pokok padi akan diambil dan dililit dengan tali dan kemudiannya dihempas beberapa kali ke dalam tong kayu yang dipasang tabir atau layar. Proses menghempas padi ke dalam tong ini bertujuan untuk meleraikan biji padi dari tangkainya. Proses ini dipanggil ‘memukul’. Tong padi mengandungi tiga komponen utama iaitu tong, tangga dan layar. Pokok padi yang telah terpisah biji padinya dipanggil ‘Jerami’.
Kaedah penuaian yang ke tiga ialah menggunakan jentera seperti sekarang.
Biji padi berisi penuh yang terlerai samada melalui proses mengirik, memukul atau mesin akan dipanggil ‘Padi Bernas’. Padi yang tidak berisi pula dipanggil ‘Hampa Padi’. Proses mengasingkan biji padi bernas dan biji padi hampa dibuat dengan kaedah ‘Mengayak’ ‘Menyiru’ dan ‘Menampi’ .
Sebelum boleh dimasak dan dimakan, padi perlu diproses samada ditumbuk atau dimesin. Alat yang digunakan untuk menumbuk padi dinamakan ‘Lesung’. Penumbuknya pula dipanggil ‘Alu’. Proses ini akan menghasilkan padi yang tertanggal kulitnya dan inilah yang dinamakan sebagai ‘Beras’ . Jika padi diproses menggunakan mesin maka terus menjadi beraslah. Jika kaedah lama perlu ditumbuk dalam lesung, hasilnya sekali lagi perlu ditampi menggunakan ‘badang’. Badang pula ada beberapa jenis iaitu ‘Badang Biasa’ dan ‘Badang Jarang’ yang berlubang-lubang.
Dulu sebelum memasak nasi akan dipilih saki baki padi yang bercampur dalam beras. Padi di dalam beras ini tidak lagi dipanggil padi tetapi sebaliknya dipanggil ‘Antah’. Bila beras dimasak ianya tidak lagi dipanggil beras tetapi dipanggil ‘nasi’ . Proses memasak nasi ini dipanggil ‘Menanak’ . Jika sewaktu menanak itu terlebih air atau sengaja dilebihkan air, maka nasi menjadi ‘bubur’.
Kita jangan leka. janganlah sampai nasi menjadi bubur. – Mhas.